Bahasa dan kebudayaan Nusantara

Kebanyakan bahasa yang dituturkan di wilayah Nusantara merupakan sebahagian keluarga bahasa Melayu-Polinesia, termasuk bahasa Tagalog yang dituturkan secara meluas di Filipina, bahasa Jawa yang dituturkan di Pulau Jawa dan sudah tentunya, bahasa Melayu yang dituturkan di Malaysia (yang dikenali juga sebagai Bahasa Malaysia), Singapura dan Brunei (yang dikenali sebagai Bahasa Melayu). Bahasa Indonesia juga berasal daripada bahasa Melayu dan dikenali sebagai Bahasa Indonesia oleh orang tempatan kerana penamaan bahasa Indonesia menurut "Sumpah Pemuda tahun 1928".

Seribu tahun dahulu, agama wilayah Nusantara ialah agama campuran yang terdiri daripada agama-agama Hindu, Buddha, dan tradisi-tradisi asli. Penemuan artifak seperti tulang, batu dan sisa makanan penghuni di gua di rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia menunjukkan adanya sebaran kebudayaan pada zaman prasejarah.[1] Sejak dari masa itu, agama-agama yang baru, termasuk agama Kristian dan terutamanya, agama Islam telah memantapkan kedudukannya di sini.

Kebudayaan di wilayah ini kini dipengaruhi oleh banyak agama. Agama Islam merupakan agama yang terutama, khususnya di Indonesia, Brunei, Malaysia, dan di kalangan orang Melayu di Singapura, serta juga di Mindanao dan kawasan Filipina selatan, manakala agama Katolik merupakan agama terutama di Filipina dan Timor Timur. Di Semenanjung Malaysia terdapat juga banyak penganut agama Buddha dan Kristian daripada berbilang mazhab, dan agama Hindu. Agama Hindu ialah agama utama di Pulau Bali.